Kerajaan meneruskan usaha memperkasa ekonomi digital negara melalui penganjuran Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Sabah yang berlangsung di Pasar Taman Semarak, Tawau, Sabah.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dianjurkan di bawah seliaan Kementerian Digital (KD). Program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan memperluas manfaat ekonomi digital kepada seluruh rakyat, sejajar dengan aspirasi AI Nation 2030 dan Malaysia MADANI.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa agenda pendigitalan negara bukan semata-mata tertumpu kepada pembangunan teknologi, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha membina Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan dan keterangkuman.
Beliau berkata transformasi digital perlu memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat termasuk komuniti di luar bandar, agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perubahan ekonomi global.
JMD @ Sabah bertujuan memperkukuh ekosistem digital negeri serta memperkasa komuniti akar umbi supaya lebih bersedia menyertai ekonomi digital.
Antara pencapaian utama yang dicatat di Sabah termasuk peningkatan digitalisasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kemajuan teknologi pertanian digital (Digital AgTech) dan pembangunan industri kandungan digital tempatan.
Sehingga kini, lebih 13,000 usahawan di seluruh negara telah menerima manfaat melalui Geran Digital PMKS MADANI bernilai RM54.9 juta, termasuk lebih 2,700 usahawan di Sabah yang telah mengguna pakai teknologi digital.
Sabah juga berada di tangga ketiga di Malaysia dalam pelaksanaan Digital AgTech, dengan lebih 80 sistem berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dilaksanakan bagi subsektor tanaman, ternakan dan akuakultur bernilai melebihi RM1.8 juta.
Selain itu, dua syarikat kreatif digital tempatan iaitu Siung Film Productions dan Studio Ace Productions turut menerima Geran Kandungan Digital (DCG) bagi mengetengahkan warisan budaya Sabah ke peringkat antarabangsa.
Siri Jelajah Malaysia Digital akan diteruskan di Sanbay Ballroom, Batu Sapi pada 12 November dan Dewan Yu Yuan, Sandakan pada 14 November 2025, sebagai kesinambungan usaha kerajaan mempercepatkan transformasi digital di seluruh Sabah.
-NIAGATIMES






















































