Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) telah menyalurkan pelaburan berjumlah RM5 juta sejak 2022 bagi memperkukuh pembangunan perusahaan sosial di negara ini menerusi pelbagai program pembangunan kapasiti, peluasan akses pasaran dan penarafan perusahaan sosial.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata langkah itu diambil selepas INSKEN diberi tanggungjawab menerajui pembangunan ekosistem perusahaan sosial di Malaysia selaras aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkasa ekonomi inklusif.
Beliau berkata model perusahaan sosial kini semakin relevan dalam mendepani cabaran global termasuk ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta perubahan sosial yang memberi kesan kepada masyarakat dan ekonomi.
“Perusahaan sosial bukan hanya menumpukan keuntungan semata-mata, sebaliknya turut memainkan peranan menyelesaikan isu masyarakat dan alam sekitar melalui pendekatan perniagaan yang mampan dan inovatif.
“Sebagai contoh, peningkatan populasi warga emas pada masa hadapan memerlukan lebih banyak perkhidmatan penjagaan komuniti yang boleh diterajui melalui model perusahaan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurut beliau, antara usaha yang dilaksanakan INSKEN termasuk sesi libat urus bersama industri, klinik penarafan perusahaan sosial, persidangan antarabangsa serta program jaringan dan akses pasaran di dalam dan luar negara.
Sehingga kini, seramai 3,875 peserta telah menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dijalankan agensi itu.
Dalam tempoh dua suku tahun lalu, INSKEN turut menyediakan peruntukan RM200,000 bagi membantu 20 perusahaan sosial memperluas impak komuniti dan pasaran masing-masing menerusi sokongan seperti subsidi operasi, peluang pembelian produk dan perkhidmatan, penyertaan acara serta padanan perniagaan strategik.
Steven Sim turut menggesa lebih banyak perusahaan sosial mendapatkan penarafan melalui INSKEN bagi meningkatkan kredibiliti organisasi selain membuka akses kepada pembiayaan, insentif cukai serta peluang menyertai program pembangunan dan pameran.
Berdasarkan dokumen SEMy2030 dan kajian The State of Social Enterprise in Malaysia oleh British Council, Malaysia dianggarkan mempunyai 20,749 perusahaan sosial setakat 2018.
Setakat ini, sebanyak 600 entiti telah memperoleh penarafan perusahaan sosial melalui INSKEN meliputi kategori Tunas Perusahaan Sosial (Aspiring) sebanyak 281 entiti, Perusahaan Sosial Asas (SE.Basic) sebanyak 252 entiti dan Perusahaan Sosial Diakreditasi (SE.Accredited) sebanyak 67 entiti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata usaha berterusan itu mencerminkan peranan INSKEN sebagai penghubung antara perusahaan sosial dengan peluang pasaran sebenar.
Beliau berkata INSKEN kini memberi tumpuan kepada pendekatan perolehan sosial bagi memastikan amalan itu dapat diterapkan setanding dengan model perniagaan konvensional.
“Pendekatan ini diyakini mampu membantu perusahaan sosial menjadi lebih berdaya saing, mampan dan bersedia untuk berkembang lebih luas, selain menjadi contoh kepada organisasi lain dalam melaksanakan perolehan berimpak tinggi yang turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
-NIAGATIMES





















































