Kerajaan perhebat libat urus usahawan, MPUPK mulakan siri dialog di Utara

Usaha memperkukuh peranan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya dalam kalangan usahawan Bumiputera terus diperkasakan apabila Siri Program Turun Padang dan Dialog Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) memulakan penganjuran sulungnya di Sungai Petani, Kedah hari ini.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia itu bertujuan menjadi platform libat urus dua hala antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan komuniti perniagaan bagi mendapatkan pandangan secara langsung berhubung cabaran sebenar yang dihadapi PMKS di peringkat akar umbi.

Penasihat Khas MPUPK, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dilantik pada 11 April lalu berkata pendekatan turun padang dan dialog terbuka adalah penting dalam memastikan dasar serta bantuan kerajaan benar-benar selari dengan keperluan semasa usahawan.

Beliau berkata menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 bermula 2026, kerajaan menyasarkan peningkatan sumbangan PMKS kepada ekonomi negara daripada 39.5 peratus pada 2024 kepada 50 peratus menjelang 2030.

“Walaupun sasaran ini mencabar, ia mampu direalisasikan sekiranya isu asas seperti akses pembiayaan, pasaran dan keupayaan operasi dapat ditangani secara bersama melalui dialog berterusan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Seramai 220 peserta hadir terdiri daripada usahawan dan syarikat Bumiputera, wakil kerajaan negeri, agensi Persekutuan, institusi kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta persatuan perniagaan dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Sesi dialog yang menjadi tumpuan utama program memberi ruang kepada usahawan menyuarakan pandangan secara terus, selain penerangan mengenai peranan MPUPK dalam menyelaras pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan agar lebih berkesan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tetap MPUPK, Rizal Nainy berkata pelaksanaan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) membantu mengurangkan pertindihan program serta ketirisan dana melalui penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan.

Program tersebut turut diserikan dengan forum, sesi padanan perniagaan dan pembabitan syarikat peneraju termasuk MYDIN Mohamed Holdings, Uniti Asia dan DesaMall@PERDA.

-NIAGATIMES

Group-Photo-Dialog-MPUPK-Zon-Utara.JPG