Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan inisiatif terbaharu pasaran modal bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membangunkan saluran bakat mampan. Inisiatif ini dijangka mengatasi kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.
Inisiatif tiga tahun ini, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023, diterajui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Ia diadakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bursa Malaysia, serta permain industri pasaran modal yang terkemuka. Ia juga merupakan kolaborasi pertama antara SC, industri pasaran modal, dan universiti.
Program ini dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.
Dalam majlis pelancaran tersebut, Anwar turut mengumumkan nama rasmi inisiatif tersebut iaitu investED, Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal, bagi membantu 9,000 mahasiswa mengembangkan kemahiran dan kebolehpasaran terutamanya dalam industri pasaran modal, dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.
investED dijangka membuka peluang pekerjaan kepada sebanyak 600 graduan dalam tempoh tiga tahun tersebut melalui penempatan pekerjaan dan latihan dalam pekerjaan yang disediakan oleh firma dalam industri pasaran modal di bawah Program Kepimpinan investED.
Selain itu, sebanyak 2,400 graduan akan mendapat manfaat daripada Program Asasi investED, sebuah program pensijilan berstruktur yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), badan pembelajaran dan pembangunan SC.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan serta pembangunan bakat merupakan agenda utama bagi SC dan pasaran modal.
“Dengan kadar peralihan bakat yang tinggi terutamanya dalam industri seperti pasaran modal, tumpuan terhadap pembangunan bakat-bakat tersebut adalah amat penting.
“Program ini diperkenalkan bagi membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan bakat antara graduan dan keperluan industri, yang sedang mengalami peralihan ke dunia digital.
“Kami berharap inisiatif ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membolehkan mereka mendapat pelbagai peluang pekerjaan dalam pasaran modal,” katanya.
-NIAGATIMES