Kerajaan tangguh pelaksanaan e-invois tanpa penalti untuk syarikat kecil dan sederhana

Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan invois elektronik (e-invois) tanpa penalti selama setahun lagi bagi syarikat yang mencatatkan nilai jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas syarikat terlibat yang masih belum bersedia sepenuhnya, khususnya disebabkan kos pelaksanaan sistem e-invois yang tinggi.

“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan tanpa penalti selama satu tahun lagi kerana terdapat syarikat yang berpandangan kos pelaksanaannya masih membebankan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Pelaksanaan e-invois bagi kumpulan syarikat berkenaan sepatutnya bermula pada 1 Januari 2026.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memperluaskan kemudahan e-invois bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan sebagai langkah mempertingkat kecekapan urusan perniagaan serta pematuhan cukai.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan bersetuju melaksanakan program pengakuan sukarela bagi duti setem selama enam bulan, bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.

Pelaksanaan e-invois secara berperingkat telah bermula pada 1 Ogos 2024 dan kini memasuki fasa keempat, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh pentadbiran cukai negara di samping mengurangkan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

E-invois diperkenalkan sebagai platform digital bagi memudahkan penjanaan dan penghantaran invois secara elektronik, sekali gus meningkatkan ketelusan pelaporan, kecekapan kutipan cukai serta mengurangkan kebocoran hasil.

-NIAGATIMES

eInvois-GAMBAR-HIASAN.jpg