Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta merakamkan penghargaan atas penerimaan beberapa cadangan kementerian itu dalam usaha memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sepuluh inisiatif utama yang diumumkan Perdana Menteri merupakan langkah praktikal dan strategik yang mampu memberikan kelegaan segera kepada PMKS, khususnya dalam aspek aliran tunai, kos operasi dan kelangsungan perniagaan.
Antara inisiatif penting ialah penyediaan pembiayaan tambahan sebanyak RM2.5 bilion daripada keseluruhan RM30 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2026, dengan separuh daripada jumlah tersebut disasarkan kepada PMKS yang belum pernah menerima pembiayaan sebelum ini.
Kerajaan turut mengumumkan bayaran balik lebihan Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2023 dan 2024 akan diselesaikan sepenuhnya pada tahun 2026, sekali gus membantu meningkatkan kecairan kewangan perusahaan.
Dalam usaha mengurangkan beban kos, pengusaha dalam sektor makanan ternakan, baja dan racun diberikan pengecualian Cukai Jualan.
Selain itu, PMKS baharu dikecualikan daripada Cukai Perkhidmatan ke atas sewaan premis perniagaan selama tempoh satu tahun, manakala PMKS lain menikmati pengurangan kadar cukai perkhidmatan daripada lapan kepada enam peratus.
Had nilai ambang bagi pendaftaran perkhidmatan pajakan atau sewaan turut dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta, langkah yang dijangka memberi manfaat kepada PMKS yang menyewa ruang komersial.
Bagi sektor pembinaan, kerajaan memberikan pengecualian Cukai Perkhidmatan ke atas perjanjian pembinaan selama dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027, sekali gus membantu kontraktor kecil dan sederhana. Pembinaan rumah ibadat seperti masjid, surau, kuil, gereja dan tokong pula dikecualikan sepenuhnya daripada Cukai Perkhidmatan mulai 1 Julai 2025.
Kerajaan juga bersetuju menangguhkan penguatkuasaan denda bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 selama satu tahun sehingga 31 Dis 2026 bagi perusahaan dengan nilai jualan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Dalam masa yang sama, seramai 10,000 peniaga kecil termasuk kedai-kedai runcit dan koperasi, khususnya di kawasan luar bandar, akan didaftarkan ke dalam rangkaian program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan peruntukan RM2.4 bilion bagi projek kecil yang dilaksanakan oleh kontraktor PMKS berstatus G1 hingga G4, dengan pelaksanaan dimulakan serta-merta.
Selain itu, Program Pengakuan Sukarela Duti Setem akan dilaksanakan selama enam bulan bermula 1 Jan hingga 30 Jun 2026, sebagai langkah memudah cara pematuhan tanpa penalti berat.
Steven Sim berkata secara keseluruhan, inisiatif bernilai hampir RM80 bilion itu berfungsi sebagai suntikan sokongan besar kepada sektor PMKS, terutamanya dalam meningkatkan kecairan aliran tunai serta memastikan kesinambungan operasi perniagaan.
Beliau turut menyambut baik penekanan Perdana Menteri terhadap usaha memperluas perkhidmatan tanpa kertas dan pelaksanaan reformasi bagi mempermudah proses birokrasi.
Menurutnya, kesemua inisiatif tersebut selaras dengan strategi ABCD yang digariskan KUSKOP, merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran, yang menjadi tunjang utama dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan ekosistem PMKS negara.
-NIAGATIMES






















































