Kerajaan umum dana RM1.5 bilion kerjasama awam-swasta percepat pendigitalan PMKS

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), bersama rakan pelaksana hari ini mengumumkan peruntukan dana kumulatif berjumlah kira-kira RM1.5 bilion bagi menyokong inisiatif mendigitalkan perniagaan di seluruh negara.

Dana ini diwujudkan melalui kerjasama strategik awam-swasta melibatkan agensi kerajaan dan rakan sokongan termasuk institusi kewangan, bank digital, platform0 pembiayaan Peer-to-Peer (P2P) serta penyedia perkhidmatan tempatan.

Ia bertujuan untuk menyediakan penyelesaian digital bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di samping menawarkan kemudahan pembiayaan digital yang menyokong keperluan operasi harian komuniti ini.

Berucap semasa majlis Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI) hari ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, program ini merupakan satu inisiatif transformasi digital berteraskan rakyat oleh Kerajaan MADANI, yang bertujuan untuk memperkasa PMKS melalui penyelesaian teknologi inovatif, demi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh negara untuk memastikan PMKS memiliki akses kepada penyelesaian digital, peluang pembiayaan dan bimbingan pakar bagi memperkukuhkan daya saing mereka dalam lanskap ekonomi digital yang pantas berubah.

Melalui BDI, Kerajaan MADANI mempercepatkan penerimagunaan teknologi digital dalam kalangan PMKS, sambil memacu pertumbuhan inklusif yang membolehkan semua perniagaan, tidak mengira saiz, berkembang maju untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Majlis hari ini turut menyaksikan pemeteraian pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC dan SME Corp Malaysia, institusi kewangan, bank digital, platform P2P serta penyedia perkhidmatan tempatan, bagi memastikan PMKS menerima sokongan menyeluruh dalam aspek pembiayaan, akses kepada alatan digital dan pembangunan kapasiti untuk beralih ke arah ekonomi digital dengan lebih berjaya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, 21 Penyedia Perkhidmatan e-Invois yang diiktiraf oleh MDEC akan menawarkan penyelesaian e-invois secara ‘freemium’ dan berpatutan untuk PMKS.

-NIAGATIMES

MDEC.jpg