AEON Bank (M) Berhad, bank digital Islamik Malaysia telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Foodpanda Malaysia, yang merupakan platform dalam talian penghantaran makanan dan barangan runcit yang terkemuka di negara ini.
Kerjasama niaga-ke-niaga (B2B) tersebut disasarkan mampu meningkatkan penerimagunaan perbankan digital di kalangan para pengguna mereka. Ia juga bertujuan untuk memperkasa ekonomi gig Malaysia menerusi penyelesaian teknologi kewangan (fintech) yang inovatif, sambil mendorong keterangkuman kewangan (financial inclusion).
Memorandum Persefahaman (MoU) antara AEON Bank dan Foodpanda Malaysia merangkumi pelbagai skop kerjasama, termasuk pemerolehan pelanggan, pembiayaan digital, kempen bersama, dan perkhidmatan tambah nilai untuk para pelanggan, rakan penghantar (rider) dan rakan peniaga di segenap ekosistem mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, “Kerjasama strategik dengan Foodpanda merupakan permulaan kolaborasi yang teguh bagi AEON Bank. Dengan mengoptimumkan rangkaian meluas Foodpanda dan menghubungkannya dengan produk perbankan patuh syariah AEON Bank serta program kesetiaan AEON Points, kami berharap ia dapat memberi impak bermakna kepada segmen sasaran tersebut, khususnya pekerja gig dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam usaha menjana pertumbuhan dan merangsang keterlibatan.”
Pelbagai program utama akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, termasuklah gabungan jenama bersama yang menampilkan dua maskot mereka iaitu Neko oleh AEON Bank dan Pau-Pau oleh Foodpanda.
-NIAGATIMES






















































