Agrobank bersedia untuk meluaskan kemudahan bantuan kewangannya kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di seluruh negara berikutan perjanjian kolaborasi yang dimeterai dengan FELDA ketika sambutan Hari Peneroka FELDA peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA Trolak, kelmarin.
Pada majlis itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan skim bantuan kewangan untuk membantu generasi kedua peneroka FELDA memiliki kediaman pertama masing-masing di bawah Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF).
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, ketika mengulas mengenai kolaborasi bersama FELDA berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan FELDA dan menawarkan beberapa penyelesaian pembiayaan inovatif kepada komuniti FELDA.
“Kami percaya bahawa terdapat keinginan yang semakin meningkat untuk pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia, namun ketidakupayaan dari segi kewangan tetap menjadi halangan utama bagi kebanyakan mereka yang berhasrat untuk memiliki rumah terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah dalam industri pertanian.
“Sebagai pembiaya utama program ini, Agrobank menawarkan pembiayaan sehingga 110 peratus, dengan kadar pembiayaan pada kadar asas tambahan 1 peratus setahun, secara tidak langsung membuka peluang untuk lebih ramai peneroka FELDA yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan untuk memiliki rumah,โ ujarnya.
Selain menyediakan program pembiayaan perumahan di bawah PGBF, kolaborasi di antara Agrobank dan FELDA juga bertujuan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi peneroka FELDA, dengan menawarkan pembiayaan keusahawanan dan perladangan melalui Program Pembiayaan Mikro bagi Bukan Komoditi dan Program Perladangan bagi Tanaman Kelapa Sawit dan Getah.
Program-program ini bertujuan untuk mengembangkan kemampuan dan mengasah pemikiran keusahawanan di kalangan peneroka FELDA dan pada masa yang sama untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran peneroka di sektor agromakanan, kelapa sawit dan getah.