Agrobank dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah memeterai satu perjanjian persefahaman untuk berkolaborasi dan mempromosi program pembangunan usahawan bagi merancakkan amalan teknologi industri 4.0 di sektor pertanian tempatan, baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerjasama antara Agrobank dan MTDC ini bakal merealisasikan visi Industri 4.0 negara yang mengaplikasi amalam pertanian moden dan pintar dalam sektor pertanian.
“Amalan teknologi moden dan pintar bakal menjadi masa depan di landskap sektor pertanian, dan saya berasa gembira kerana akhirnya visi ini akan direalisasikan menerusi kerjasama ini bagi menyokong pembangunan industri pertanian.
“Usahawan akan diperkenalkan kepada penggunaan robot dalam amalan pertanian pintar yang bukan sahaja menjimatkan kos operasi, malah membantu menguruskan perniagaan yang dengan lebih baik.
“Pertanian pintar mempunyai potensi besar untuk menyediakan hasil pertanian yang lebih produktif dan secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kerjasama ini, Agrobank akan menyediakan pembiayaan kewangan sebanyak RM20 juta bagi 200 usahawan daripada sektor pertanian yang dikenal pasti oleh MTDC dalam fasa pertama inisitif ini. Setiap usahawan akan menerima pembiayaan maksimum RM100,000.
Usahawan yang dikenalpasti akan dibimbing, dilatih dan diberikan bantuan teknikal menerusi cabang akademi MTDC iaitu, Technopreneur Training Academy (TENTRA) untuk latihan keusahawanan dan Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk kemudahan latihan bersama jurulatih berpengalaman bagi setiap latihan dan keperluan solusi Industri 4.0.
-NIAGATIMES