Suara usahawan di Pantai Timur kini bukan sahaja mampu didengar penduduk tempatan tetapi lebih meluas hingga ke Lembah Klang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.
Ia susulan kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Husa Network Sdn Bhd yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dua hala antara stesen radio hari ini.
Bernama dalam satu kenyataan berkata, kerjasama melibatkan Bernama Radio dan Manis FM itu bukan sahaja mengetengahkan usahawan berjaya sebagai pencetus inspirasi, malah ia membuka ruang kepada usahawan baharu terutama yang terlibat dalam bidang pertanian dan Industri Kecil Sederhana (IKS).
“Menerusi program Khabar Pantai Timur itu juga, pendengar boleh berkongsi idea serta pandangan secara langsung, pada setiap Khamis, pukul 7.30 pagi di kedua-dua stesen, dengan program bersiaran sebanyak 13 episod bermula 3 September 2020.
“Bernama Radio yang dikenali sebagai Stesen Berita Bisnes Anda boleh menjadi platform terbaik kepada usahawan di Pantai Timur manakala Manis FM yang popular dengan Gaya Pantai Timur mampu menarik golongan muda untuk mendalami dunia keusahawanan sebenar,” katanya.
MoU ini terjalin susulan saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah agar Manis FM menjalinkan kerjasama dengan Bernama Radio bagi memantapkan kandungan rancangan berkaitan perniagaan dan keusahawanan terbitannya.
-NIAGATIMES