Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) telah menandatangani perjanjian jaminan portfolio (PG) untuk menyediakan pembiayaan bernilai RM50 juta kepada perusahaan mikro.

Ketua Pegawai Perniagaan BSN Mujibburrahman Abd Rashid berkata ia merupakan perjanjian kedua yang terjalin antara BSN dan CGC dalam menyokong perusahaan mikro dengan yang pertama dimeterai pada Mei 2017.

“BSN dalam kerjasama ini akan menyediakan skim pembiayaan dalam dua bahagian berjumlah RM50 juta, RM25 juta setiap satu bagi skim PG konvensional dan Islam.

“Skim pembiayaan ini bertujuan membantu usahawan mikro dengan modal kerja dan pengambilalihan aset mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujibburrahman berkata PG akan disediakan melalui 390 cawangan BSN di seluruh negara.

“Di bawah skim ini, perusahaan mikro yang layak dibenarkan memohon sama ada kemudahan pembiayaan Islam atau konvensional daripada BSN sekurang-kurangnya RM5,000 dan sehingga maksimum RM50,000 bagi tempoh sehingga lima tahun.

“CGC akan menyediakan jaminan sehingga 70 peratus daripada jumlah pembiayaan diluluskan bagi perusahaan mikro,” katanya. – BERNAMA