Emirates memperbaharui kerjasama strategiknya dengan Tourism Malaysia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) baharu bagi meningkatkan kemasukan pelancong antarabangsa ke Malaysia, khususnya dari pasaran Timur Tengah.
Perjanjian untuk tempoh setahun itu turut menyokong kempen Visit Malaysia 2026-2027 yang menyasarkan 47 juta ketibaan pelawat asing.
Menerusi kerjasama berkenaan, Emirates akan mempromosikan Malaysia menerusi rangkaian globalnya, selain bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam pelbagai aktiviti pemasaran dan pengiklanan bagi memperluas capaian kempen tersebut.
Kerjasama itu turut merangkumi penganjuran lawatan suai kenal untuk pengamal media serta pemain industri pelancongan, selain meneroka peluang kerjasama berkaitan penyertaan Tourism Malaysia dalam Arabian Travel Market.
MoU itu ditandatangani oleh Naib Presiden Kanan, Operasi Komersial Emirates bagi Timur Jauh, Orhan Abbas dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Chua Choon Hwa.
Abbas berkata kerjasama berkenaan mencerminkan hubungan kukuh yang terjalin antara Emirates dan Malaysia sejak syarikat penerbangan itu mula beroperasi di negara ini tiga dekad lalu.
Beliau berkata jaringan global Emirates serta hubungan penerbangan melalui Dubai mampu membantu Malaysia mencapai sasaran kempen Visit Malaysia yang dilanjutkan sehingga 2027.
Sementara itu, Mohd Amirul Rizal berkata pembaharuan kerjasama itu memperkukuh usaha Malaysia memberi tumpuan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pasaran Timur Tengah yang lebih luas.
Beliau berkata jaringan Emirates yang luas berupaya meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam kalangan pelancong antarabangsa bernilai tinggi, sekali gus berpotensi menyumbang kepada peningkatan ketibaan, tempoh penginapan dan perbelanjaan pelancongan.
Kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan tempatan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan di rantau ini.
-NIAGATIMES




















































