Foodpanda Malaysia dan AEON Co (M) Bhd mengumumkan kerjasama strategik bagi memperluaskan lagi penawaran nilai kepada pelanggan di Malaysia.
Melalui kerjasama ini, pengguna foodpanda dapat membeli hampir 13,000 barangan dari 30 gedung yang terdiri daripada 8 AEON MaxValu, 10 AEON Wellness dan 12 cawangan Daiso di dalam aplikasi tersebut, pada harga mampu milik yang sama seperti di dalam kedai, di mana barang yang dibeli akan dihantar terus kepada pelanggan dalam masa hanya 30 minit.
AEON, yang memulakan pengoperasiannya dalam Foodpanda pada April tahun ini, telah menyaksikan pendapatannya meningkat lebih daripada lima kali ganda pada penghujung Ogos.
Pada masa sama, purata saiz bakul pelanggan AEON di dalam platform itu turut meningkat lebih daripada 30 peratus, menunjukkan bahawa mereka semakin yakin dengan keupayaan Foodpanda untuk menghantar produk berkualiti AEON dalam jangka masa yang paling singkat.
“Kerjasama dengan gedung membeli-belah paling ikonik di Malaysia dalam Foodpanda menandakan satu pencapaian penting dalam usaha kami untuk menyampaikan pengalaman membeli-belah atas permintaan yang holistik kepada pelanggan kami,” kata Naib Presiden quick-commerce (q-dagang) Foodpanda, Raphael Zennou.
“Sebagai perintis q-dagang Asia, kerjasama ini adalah satu lanjutan semula jadi terhadap penawaran barangan runcit Foodpanda yang sedia ada. Pelanggan boleh mengakses rangkaian luas produk di hujung jari mereka menerusi kedai-kedai Foodpanda, dengan hampir 7,000 kedai lain dan sejumlah 4.7 juta inventori untuk penghantaran barangan keperluan isi rumah yang pantas.”
Dengan ini, rakyat Malaysia kini boleh menikmati pengalaman membeli-belah barangan runcit yang fleksibel dengan Foodpanda. Pelanggan juga boleh membuat prapesanan, memilih masa penghantaran mereka, dan mendapatkan cadangan yang diperibadikan berdasarkan kepada pilihan mereka.
-NIAGATIMES