Kerjasama Grayscale Technologies, Accubits bangunkan penyelesaian digital untuk Industri 4.0

Syarikat pemboleh perniagaan ICT, Grayscale Technologies, anak syarikat milik penuh TechnoDex Berhad, telah memeterai perjanjian usaha sama dengan penyedia penyelesaian global, Accubits Technologies Private Limited.

Sebagai sebahagian daripada misi Grayscale Technologies untuk menggabungkan teknologi pintar dan inovasi ke dalam penyelesaian industri tradisional dan proses perniagaan, kerjasama tersebut akan memperkukuhkan penawaran perkhidmatan ICT TechnoDex serta komitmennya untuk memperkasa dan membolehkan pelaksanaan inisiatif Industri 4.0 di rantau ini.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak diadakan di Pavilion Malaysia, Ekspo Dubai di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, semalam (12 Januari) antara Pengarah TechnoDex, Tan Sze Chong dan Ketua Pegawai Strategi Accubits Technologies, Shameer Thaha.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz. Turut hadir Pengerusi TechnoDex, Tan Sri Tengku Abdul Hamid Thani.

Pengarah TechnoDex Berhad, Tan Sze Chong yang mewakili Grayscale Technologies berkata, TechnoDex telah menyaksikan momentum pertumbuhan pelanggan yang kukuh sejak beberapa bulan lalu walaupun ketika kebanyakan industri sedang menghadapi cabaran akibat penularan wabak Covid-19.

“Kami memahami bahawa setiap pelanggan adalah unik dengan matlamat perniagaan yang berbeza serta memerlukan penyelesaian mengikut keperluan tersendiri.

“Atas faktor tersebut, kerjasama dengan Accubits adalah penting dan tepat pada masanya. Kami mahu para pelanggan dilengkapi dengan produk dan perkhidmatan yang mampu membantu mereka mencapai amalan automasi yang tinggi dan seterusnya mendapat operasi perniagaan yang cekap,” ujarnya.

-NIAGATIMES

MoU.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.