Kerjasama HDC, MISDEC bangun program perantis dan pusat tauliah halal di Melaka

Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk meluaskan kerjasama akademik, dari sudut latihan dan penyelidikan serta mempromosikan jalinan kerjasama ke dua-dua belah pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffen berkata, MoU tersebut adalah sejajar dengan visi HDC untuk menjadikan halal sebagai pilihan pertama dalam meneroka perniagaan dan misi HDC untuk menyediakan solusi untuk kecemerlangan perniagaan dalam ruang pasaran halal.

“Kerjasama dengan MISDEC untuk menyediakan Program Perantis Halal (HAP) menunjukkan betapa pentingnya industri halal dalam era ekonomi baru.

“Seperti yang kita ketahui, industri halal global sangat besar, dengan permintaan yang mencecah USD3 trilion setahun.

“Ia bukan sahaja menjana peluang perniagaan yang besar tetapi juga membuka prospek dalam peluang pengajian, tambah nilai ke atas inisiatif pembangunan bakat dan pekerjaan berkualiti.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada MISDEC kerana menjadi sebuah institusi pendidikan yang pertama menawarkan HAP selain daripada mata pelajaran yang meliputi segala aspek halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Program yang julung kali ditawarkan oleh MISDEC ini akan dimulakan dengan seramai 50 orang pelajar untuk tempoh selama enam bulan.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Hairol bersama-sama Pengerusi MISDEC, Don Mardzi Ahmad Shamsuddin dengan disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

-NIAGATIMES

KERJASAMA HDC MISDEC

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.