Kerjasama ke arah wujudkan persekitaran terbaik industri sarung tangan tempatan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin telah mengetuai perbincangan bersama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM), Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan kapten industri sarung tangan getah mengenai perkembangan semasa dalam industri getah dan cabaran yang dihadapi dalam sektor sarung tangan getah.

Mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat Majlis Getah Malaysia (MRC) di Q Sentral Kuala Lumpur itu semalam turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad bersama-sama Pengurusan MRC.

Antara isu yang dibincangkan termasuk kekurangan pekerja di mana kapasiti pengeluaran telah dikekang sejak 2019 yang telag menyebabkan anggaran kerugian melebihi RM30 bilion.

Pekerja asing merupakan kunci bagi memastikan sektor pembuatan di Malaysia berkembang maju. Oleh itu, MARGMA telah membuat semakan semula terhadap program-program di bawah Audit Perdagangan Etika Ahli SEDEX (SMETA) dan menggalakkan ahli-ahlinya untuk mengambil bahagian secara aktif bagi mendalami isu-isu berkaitan pematuhan sosial dan kelestarian.

“Kementerian menangani isu negatif berkaitan buruh dengan mengambil pendekatan proaktif dalam menangani perkara berkaitan pematuhan sosial.

“Mengenai Piagam Hak Pekerja, usaha telah dibuat bagi mematuhi Akta 446, yang memperuntukkan piawaian minimum iaitu perumahan dan penginapan untuk pekerja,” kata Zuraida.

Tambahnya, KPPK berharap untuk melibatkan diri dengan pihak berkuasa antarabangsa yang berkaitan bagi menangkis dakwaan berkenaan buruh asing baru-baru ini.

“Kami berharap ini akan menggalakkan pemain industri untuk menjaga hal ehwal pekerja mereka dengan amalan industri yang terbaik dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat,” ujarnya.

KPPK juga sedang mengkaji usaha bagi meningkatkan pengurusan pelupusan sisa untuk terus mengedarkan sumber asli bagi penghasilan produk baharu yang diperbuat daripada bahan kitar semula seperti sarung tangan getah.

-NIAGATIMES

lawatan-ke-ibu-pejabat-MRC.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.