Sinergi kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kesihatan (KKM), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) telah berjaya menghasilkan sebuah robot berautonomi yang diberi nama MCK19.
Kerjasama yang buat julung kalinya ini merupakan inisiatif MOSTI untuk menghubungkan kepakaran dan menggerakkan kerjasama antara kementerian dengan pihak akademia dan industri selepas Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Pertama diumumkan oleh Kerajaan Malaysia pada 18 Mac 2020 yang lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, robot komersial ciptaan syarikat tempatan tersebut dikuasakan oleh Zalpha.
“Ia boleh menampung muatan sehingga 300 kilogram menggunakan rak yang tersedia dan boleh dinavigasi secara bebas untuk membantu doktor atau jururawat dalam penghantaran makanan atau ubat-ubatan ke bilik pesakit yang berada dalam pemantauan (PUI) Covid-19 di hospital.
“Robot ini mengaplikasikan teknologi ‘Internet of Things’ (IoT) yang boleh diakses oleh mana-mana komputer, tablet atau telefon pintar.
“Skrin LCD yang terdapat pada robot tersebut dalam sedikit masa lagi akan mampu diguna pakai untuk ‘teleconference’ antara doktor dan pesakit dari bilik atau pejabat,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambah Khairy, sokongan semua pihak amat penting dalam berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing bagi menyediakan langkah penyelesaian yang tepat dan berkesan dalam masa yang singkat melibatkan permohonan kelulusan, bantuan dana, khidmat nasihat serta jaringan hubungan.