Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) melanjutkan kerjasamanya dengan Swinburne University of Technology untuk menubuhkan akademi latihan Industri 4.0 yang akan terletak di Akademi Teknologi MARii di Bukit Beruntung, Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Madani Sahari berkata akademi itu akan menjadi pusat bagi pembangunan tenaga kerja sebagai persediaan menghadapi Industri 4.0.
“Kerjasama yang dipertingkatkan ini dengan Swinburne akan mengukuhkan lagi inisiatif MARii’s dalam melatih tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi Industri 4.0, sejajar dengan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 (Industry 4WRD),” katanya pada majlis permeteraian kerjasama itu di Melbourne, baru-baru ini.
Kerjasama itu dimeterai antara Madani dan Pro-Naib Canselor (libat urus penyelidikan antarabangsa) Swinburne Profesor Ajay Kapoor, dan disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking serta Naib Presiden (libat urus) Swinburne Jane Ward.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata Swinburne Innovation Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Swinburne Sarawak, telah diberikan status syarikat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kontrak oleh MIDA pada Mac 2019 sebagai pengiktirafan ke atas usaha persendirian syarikat itu dalam penyelidikan.
“Dalam keadaan persekitaran global yang semakin kompleks, kita perlu menyedari bahawa penyelidikan pada hari ini jarang sekali satu usaha persendirian. Ia berkaitan dengan perkongsian, saling bekerjasama, membina hubungan strategik dan memupuk kerjasama antarabangsa,” katanya. – BERNAMA