Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah bekerjasama dengan Bank Pembangunan Islam (IsDB) bagi menggalakkan usaha sama antara syarikat-syarikat tempatan dengan rakan di 56 negara dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Agensi penggalakkan perdagangan itu menjelaskan kewujudan hubungan songsang (RL), sebuah medan liputan di bawah Memorandum Persefahaman antara IsDB dan Kementerian Kewangan telah didasarkan kepada tiga tonggak utama iaitu pembangunan sosial, pembangunan infrastruktur dan keperluan industri.

“Matlamat RL bertujuan menyediakan peluang-peluang kerjasama antara negara-negara yang memerlukan bantuan dari segi kepakaran teknikal serta perkongsian pengalaman dalam pelbagai sektor ekonomi dan melalui ini, syarikat terbabit akan berpeluang menembusi pasaran OIC yang mengandungi 1.8 bilion penduduk,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata agensi itu melihat kerjasama dengan IsDB sebagai satu usaha strategik bagi membantu pembangunan di negara-negara OIC.

“Kami menyokong penuh kerjasama ini kerana kami percaya dalam manfaat bersama… usaha ini akan meningkatkan kesejahteraan ekonomi di negara masing-masing, khususnya melalui perkongsian yang didorong oleh keupayaan yang saling melengkapi.

“Kami berharap agar rakan-rakan OIC kami akan mendapat manfaat melalui kerjasama dengan rakan-rakan Malaysia melalui inisiatif RL ini,” kata Wan Latiff semasa di bengkel Pusat Sumber Pemetaan Malaysia (MMRC) yang diadakan serentak dengan IsDB baru-baru ini. – BERNAMA