Kerjasama microLEAP, HDC perluas pembiayaan patuh syariah untuk PKS Halal

Platform pembiayaan patuh Syariah, microLEAP, dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) menjalin kerjasama strategik bagi memperluaskan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) Halal, selaras dengan tumpuan Belanjawan 2026 terhadap pemerkasaan ekonomi Halal dan pembiayaan mampan.

Kerjasama ini menyokong pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), khususnya Teras Strategik 4 yang menekankan pembangunan infrastruktur kewangan bersepadu bagi memperkukuh keupayaan perusahaan Halal bersaing di peringkat global.

Melalui kerjasama ini, lebih 14,000 ahli berdaftar dalam Platform Integrasi Halal (HIP) HDC akan mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan microLEAP, termasuk Pembiayaan Mikro sehingga RM50,000 dan Pembiayaan Invois dengan had sehingga RM500,000, kedua-duanya disusun mengikut prinsip Syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, kerjasama ini adalah usaha bersepadu antara sektor awam dan swasta untuk menyediakan pembiayaan yang adil dan mudah diakses oleh PKS Halal.

“Dengan hala tuju jelas yang digariskan dalam Belanjawan 2026, pembiayaan patuh Syariah harus menjadi tunjang utama dalam memperkasa perniagaan halal. Kerjasama ini membuka lebih banyak peluang untuk PKS berkembang, mengeksport dan menyumbang kepada kepimpinan Malaysia dalam ekonomi Halal global,” katanya.

Sejak 2019, microLEAP telah menyalurkan lebih RM438.6 juta dalam pembiayaan patuh Syariah kepada 357 PKS. Sehingga Oktober 2025, kadar gagal bayaran platform tersebut mencatatkan penurunan kepada 0.34 peratus, mencerminkan kualiti portfolio yang kukuh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, akses kepada modal sering menjadi cabaran utama PKS Halal.

“Kerjasama ini melengkapkan usaha HDC dalam memastikan perniagaan bukan sahaja memperoleh pensijilan Halal, tetapi juga sokongan kewangan yang mampan untuk berkembang secara berdaya saing,” katanya.

-NIAGATIMES

From-Left_-En.-Hairol-Ariffein-Sahari-Chief-Executive-Officer-HDC-YBrs.-Datuk-Azhari-Dato-Shaari-Acting-Chairman-HDC-Tunku-Danny-Chief-Executive-Officer-microLEAP.jpg