Kerjasama MPOB, penggiat industri berjaya tingkat kawalan ulat bungkus di Hilir Perak

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bersama agensi-agensi lain yang mengganggotai Jawatankuasa Bertindak Kawalan Ulat Bungkus telah meningkatkan usaha kawalan serangan ulat bungkus di ladang-ladang dan kawasan tanaman sawit pekebun kecil di Hilir Perak.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, majoriti kawasan yang mengalami serangan ulat bungkus seperti di FELDA Gugusan Besout, Ladang MAIPK Sungkai, Ladang RISDA Serigala, Southern Perak Plantation (SPP) dan Ladang Gugusan Air Kuning kini telah bebas daripada ancaman tersebut.

“Populasi ulat bungkus di kawasan tanaman sawit Hilir Perak telah menurun di bawah nilai ambang kerosakan ekonomik. Kerjasama serta komitmen ahli-ahli Jawatankuasa Bertindak telah memberi impak yang amat besar dalam kejayaan menangani serangan ulat bungkus di Hilir Perak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jawatankuasa Bertindak Kawalan Ulat Bungkus Hilir Perak menjalankan pemantauan secara berkala untuk mendapat status terkini serangan ulat bungkus serta kawalan bagi ladang dan kawasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian.

Jelas Ahmad Parveez, aktiviti lain yang turut dijalankan di bawah program Jawatankuasa Bertindak adalah melibatkan lawatan dan pemeriksaan setiap tiga bulan oleh MPOB ke ladang-ladang yang mengalami serangan ulat bungkus.

“Antara pendekatan yang disarankan oleh MPOB dalam kawalan ulat bungkus ialah kaedah pengurusan perosak bersepadu atau Integrated Pest Management (IPM) yang mesra alam.

“Untuk kawasan pekebun kecil sawit persendirian, MPOB membekalkan tanaman bermanfaat secara percuma.

“MPOB juga menjalankan bancian populasi ulat bungkus, semburan bioinsektisid menggunakan dron, suntikan batang serta pemasangan perangkap feromon semula jadi yang dilaksanakan secara percuma,” ujarnya.

-NIAGATIMES

PIC-ulat-bungkus-Bagworms-.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.