Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menjalin kerjasama bagi kajian penggunaan minyak masak terpakai dan sisa minyak sawit sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biobahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia.
Kedua-dua organisasi tersebut telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka potensi produk berasaskan sawit iaitu minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit di peringkat kilang seperti efluen kilang minyak sawit (POME) sebagai bahan mentah utama untuk kilang penapisan bio tempatan bagi menghasilkan SAF, baru-baru ini.
Ketua Pengarah MPOB. Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Perniagaan Hiliran, PETRONAS, Encik Ahmad Adly Alias telah menyempurnakan perjanjian persefahaman berkenaan bagi kerjasama kedua-dua pihak dalam penggunaan minyak sawit terpakai dan sisa buangan sawit yang menyumbang kepada penjanaan tenaga mampan dan kesejahteraan ekonomi negara.
MPOB, sebuah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi yang berperanan dalam memastikan kemajuan industri sawit negara dan PETRONAS akan bekerjasama bagi membangunkan rangka kerja termasuk kebolehkesanan minyak masak terpakai dan sisa bahan buangan sawit di samping akan mengatur strategi komunikasi, pendidikan dan kesedaran umum mengenai kepentingan penggunaan minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit sebagai bahan mentah utama.
“Pengeluaran SAF dengan mengitar semula minyak masak terpakai dan bahan buangan sawit amat bertepatan dengan salah satu konsep Ekonomi Madani yang menggalakkan pertumbuhan Teknologi Hijau.
“Industri sawit adalah contoh kejayaan ekonomi sirkular yang berkonsepkan penghapusan bahan buangan, pengitaran semula produk dan pelestarian alam sekitar,” kata Ahmad Parveez.
-NIAGATIMES