Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mencipta satu lagi kejayaan dengan memeterai kerjasama bersama True Trichoderma Technology Sdn Bhd untuk pengkomersialan teknologi kulat endofitik Trichoderma 159c (TrichoShield) yang bertindak sebagai agen kawalan biologi terhadap penyakit reput pangkal batang sawit.
Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, True Trichoderma Technology menjalin kolaborasi penyelidikan dengan MPOB untuk teknologi itu bermula pada Jun 2018.
โHari ini, kita menyaksikan permulaan pengkomersialan teknologi MPOB, teknologi agen kawalan biologi menggunakan Trichoderma yang merupakan kaedah yang berkesan bagi industri sawit,โ katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian antara MPOB dan syarikat True Trichoderma Technology, baru-baru ini.
Di majlis itu, True Trichoderma Technology diwakili oleh Pengarah Urusannya Jason Wong manakala MPOB diwakili oleh Ketua Pengarah, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Teknologi yang dibangunkan oleh MPOB bagi kawalan Ganoderma boleh digunakan melalui penyediaan tanah dan tanaman bersepadu merangkumi pendekatan mesra alam yang memberi manfaat kepada penanam sawit termasuk pekebun kecil.
Formulasi Trichoderma berupaya membantu memanjangkan jangka hayat produktif pokok sawit, yang sekali gus menyumbang kepada pengurangan kerugian pendapatan yang ketara disebabkan oleh kulat Ganoderma yang menjadi punca penyakit reput pangkal batang sawit.
โDengan keberkesanan teknologi ini sebagai kaedah kawalan biologi kepada industri sawit, ia disyorkan sebagai salah satu kaedah pengurusan penyakit secara bersepadu. Potensi komersial produk ini sangat besar kerana ia adalah antara penyakit utama pokok sawit,โ kata Dr. Ahmad Parveez.
-NIAGATIMES