Kerjasama Skydrive, Suzuki dalam perniagaan dan teknologi kereta terbang

SkyDrive Inc. (SkyDrive) dan Suzuki Motor Corporation (Suzuki) secara bersama mengumumkan satu perkongsian untuk pengkomersilan kereta terbang, baru-baru ini.

SkyDrive adalah sebuah pengeluar terkemuka bagi kereta terbang di Jepun dan pada masa ini terlibat di dalam pembangunan sebuah kereta terbang padat, dua tempat duduk yang dikuasakan oleh elektrik dengan perancangan untuk pengeluaran berskala penuh.

Manakala Suzuki adalah satu daripada pengeluar kereta terkemuka Jepun dengan kepakaran yang merangkumi pembuatan dan penjualan kereta kompak di pasaran antarabangsa.

Di bawah syarat perjanjian itu, SkyDrive dan Suzuki akan memulakan pertimbangan untuk bekerjasama di dalam bidang perniagaan dan teknologi yang termasuk R&D teknologi, perancangan bagi sistem pembuatan dan pengeluaran besar-besaran, pembangunan bagi pasaran luar negara dengan satu tumpuan awal terhadap India, dan penggalakan usaha untuk mencapai keneutralan karbon.

SkyDrive menyasarkan untuk memulakan perkhidmatan teksi udara semasa Eksposisi Dunia 2025 di Osaka, Jepun, serta untuk memulakan perkhidmatan di kawasan lain di Jepun.

Suzuki, yang mempunyai cogan kata syarikat ‘Membangunkan produk bernilai unggul dengan memberi tumpuan kepada pelanggan’ pada masa ini menawarkan produk dalam tiga kategori mobiliti iaitu kereta, motosikal dan motor sangkut.

“Kami berhasrat untuk kekal penting kepada orang ramai dengan sentiasa menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka dan menyediakan mobiliti,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkongsian itu dengan SkyDrive akan memberi Suzuki peluang untuk meneroka dan berpotensi menambahkan kereta terbang sebagai satu perniagaan mobiliti keempat.

-NIAGATIMES

PHOTO-CREDIT-Urban-Air-Mobility.jpeg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.