Kerjasama SME Bank, CDC International pacu keupayaan kewangan dan digital usahawan

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) telah memeterai kerjasama strategik dengan CDC International Sdn Bhd (CDCi) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluaskan akses kewangan serta penyelesaian digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi inisiatif pembangunan keupayaan secara menyeluruh melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development & Research (CEDAR).

Inisiatif ini menegaskan komitmen SME Bank dalam memperkasa keupayaan digital dan kewangan PMKS, mengiktiraf peranan penting mereka sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, berkata, pihaknya berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan CDCi sebagai rakan kongsi yang mencerminkan komitmen untuk membantu PKS tempatan meningkatkan dan memajukan aspirasi.

“Sejak 2021, platform digital kami, termasuk ELSA, ScoreXcess dan ODELA telah menyokong hampir 5,000 PKS merentas sektor utama.

“Kerjasama ini memberi penekanan kepada pemudahcara akses pasaran dan pembangunan perniagaan melalui CDC Speed, sebuah platform perolehan digital yang menghubungkan pembekal PKS dengan pembeli besar daripada sektor awam dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CDCi, Putri Nurul Ida Yahya berkata, kerjasama strategik ini menandakan kemajuan penting dalam ekosistem PKS dengan menggabungkan kepakaran kewangan SME Bank dan inovasi platform perolehan digital SPEED oleh CDCi.

“Melalui SPEED, kami bukan sekadar memudahkan transaksi, tetapi turut mengubah akses pasaran dengan membolehkan PMKS berhubung terus dengan pembeli berskala besar dalam sektor awam dan swasta.

“Inisiatif ini bakal mempercepatkan pertumbuhan perniagaan, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, dan mengukuhkan daya saing PMKS dalam landskap ekonomi Malaysia yang semakin berkembang,” ujarnya.

-NIAGATIMES

SME-Bank-CDCi.jpg