Selaras usaha memperkasa semua lapisan masyarakat dan usahawan dalam pemilikan hartanah kediaman dan komersial, UDA Holdings Berhad (UDA) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi pelbagai aspek perniagaan serta kemudahan fasiliti bagi individu dan entiti perniagaan di seluruh Malaysia.
UDA dalam kenyataan berkata, pihaknya menyediakan pelbagai jenis produk hartanah di seluruh negara bagi segmen hartanah dan untuk segmen individu pula, Bank Muamalat menyediakan kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat untuk pembelian rumah, kenderaan dan pelaburan runcit serta pembiayaan peribadi.
โSelain itu, bagi segmen perniagaan pula, khidmat nasihat dan kemudahan fasiliti disasarkan untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang melibatkan vendor dan rakan niaga.
โBank Muamalat akan menyediakan pembiayaan akhir kepada pembeli berpotensi untuk produk hartanah yang dibangunkan oleh UDA di seluruh Malaysia dengan melibatkan projek perumahan dan komersial pelbagai peringkat termasuk projek mampu milik dan wakaf.
โMelalui MoU ini, lebih ramai golongan mampu memiliki hartanah, antaranya melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah PertamaKu (SRP) yang disediakan oleh Bank Muamalat dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan Cagamas Berhad,โ katanya.
MoU tersebut telah dimeterai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Ibu Pejabat UDA di Blok Menara Kompleks Pertama.
-NIAGATIMES