Debaran kelompok usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang masih berteka-teki tentang perancangan pihak kerajaan terhadap industri tersebut dalam pembentangan Bajet 2019 pada 2 November ini nampaknya sedikit terungkai setelah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi bayangan ada beberapa perkara positif akan diumumkan.
Menterinya, Datuk Darell Leiking berkata, kandungan pembentangan belanjawan untuk PKS sebenarnya masih diklasifikasikan sebagai sulit namun tidak menolak kemungkinan pengumuman lebih banyak insentif akan memihak usahawan terlibat kerana sumbangan mereka sebagai nadi ekonomi negara.
โBanyak insentif yang mungkin akan diumumkan dan kami serahkannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memaklumkannya nanti selaras perancangan belanjawan untuk 2019,โ katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pelaburan Kebangsaan 2018 di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Darell, sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan bahagian eksport menjelang 2020 telah disasarkan masing-masing kepada 41 peratus dan 23 peratus berbanding 37.1 peratus dan 17.3 peratus pada 2017 melalui 32 inisiatif supaya pertubuhan perniagaan itu lebih mampan dan berdaya tahan kelak.