Selaras dengan Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, Lembaga Getah Malaysia (LGM) kini mewajibkan penggunaan sistem MSNR Trace kepada semua pemegang lesen bagi kategori kilang pemproses dan pedagang getah berkuat kuasa 5 Mei 2025 dalam melaporkan transaksi urusniaga getah asli.
LGM berkata, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan sekiranya pemegang lesen gagal menggunakan sistem MSNR Trace di bawah peraturan yang ditetapkan.
“Pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambah LGM, pihaknya turut giat menjalankan operasi besar-besaran bagi memastikan peniaga getah berlesen LGM yang membeli getah daripada pekebun kecil menggunakan aplikasi RRIMniaga yang telah dikuatkuasakan sejak tahun 2021.
“Tindakan pembatalan lesen akan dilaksanakan bagi mana-mana pemegang lesen LGM yang masih ingkar mematuhi syarat lesen yang telah berkuatkuasa,” ujarnya.
Sistem MSNR Trace yang dibangunkan LGM merupakan platform digital untuk kebolehjejakan rantaian bekalan getah asli serta memastikan ketelusan dan kemampanan dalam pengeluaran getah.
Sistem MSNR Trace ini merangkumi integrasi beberapa platform digital LGM iaitu PAT-G, RRIM Geo Rubber, RRIMniaga, RRIMestet dan MyLesen. Sistem ini memainkan peranan penting dalam menangani isu alam sekitar dan sosial dalam industri dengan membenarkan pihak berkepentingan menjejaki transaksi getah mentah dari ladang ke produk akhir.
-NIAGATIMES