Kuala Lumpur Travel Mart (KLTM) 2019 yang dianjurkan buat kali kedua bakal diteruskan penganjurannya pada tahun hadapan dalam usaha membangunkan hab keusahawanan pelancongan bumiputera.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, program hasil inisiatif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur dan WSF Travel & Tours tersebut mampu menjadi platform pemudah cara bagi usahawan bumiputera yang terlibat dalam sektor pelancongan tempatan meningkatkan produktiviti perniagaan masing-masing.
“Kita mahu para usahawan bumiputera memanfaatkan KLTM 2019 kerana keboleh pasaran produk, jenama dan perkhidmatan dari Malaysia umumnya sudah dikenali di seluruh dunia berdasarkan aspek kualiti serta keasliannya yang tersendiri.
“Sebagai contoh, konsep perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang dipraktikkan pada sesi perangkaian program ini mampu meluaskan jaringan perdagangan antara individu bersama-sama organisasi untuk saling menyokong antara satu sama lain dalam sektor pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KLTM 2019 di Hotel Vivatel Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden DPMM Kuala Lumpur, Ahmed Hussein Tajuddin dan Pengarah Urusan WSF Travel & Tours, Wan Shairi Wan Ahmad.
KLTM 2019 dengan tema ‘My Halal ASEAN’ yang dianjurkan selama sehari itu mencatat penyertaan 350 ejen pelancongan dari 25 negara seperti Thailand, Indonesia, Jepun, Korea dan Turki.