Usahawan yang terlibat dalam industri halal diingatkan supaya memanfaatkan kolaborasi erat antara Malaysia dan Jepun dalam pembangunan pasaran eksport industri tersebut yang semakin berkembang pesat serta mula mendapat permintaan di peringkat global ekoran penganjuran temasya Sukan Olimpik Tokyo pada tahun hadapan.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, melalui sesi padanan perniagaan yang dilaksanakan antara syarikat Jepun dan Malaysia sebagai contohnya adalah merupakan satu usaha kementeriannya melonjakkan peluang usahawan tempatan meluaskan empayar perniagaan ke luar negara.
“Jepun telah membuka pintu mereka kepada pasaran halal berbanding 10 tahun lepas. Sekiranya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari Malaysia tidak mengambil kesempatan ini, ia merupakan suatu kerugian besar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Halal Malaysia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Redzuan, kepakaran serta teknologi yang dimiliki oleh Jepun kelak dapat membantu produk-produk halal dari Malaysia melaksanakan proses inovasi yang lebih berkualiti untuk dipasarkan secara meluas ke negara-negara lain di seluruh dunia.