Selasa, 15 Ogos 2017 – Berikutan kejayaan Malaysian Entrepreneur Convention (MEC) yang merangkul gelaran ‘Perhimpunan Usahawan Terbesar di Malaysia’ oleh Malaysia World Book of Records, Entrepreneur Insight; jenama yang dimiliki oleh Armani Media Sdn Bhd kembali lagi dengan Konvensyen Usahawan Bumiputra (KUB) 2017 yang julung kali diadakan di Dewan MATRADE, Kuala Lumpur, pada Sabtu lepas.

Acara yang disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini berjaya menghimpunkan kira – kira 2,000 orang peserta, menjadikannya salah satu perhimpunan usahawan bumiputera terbesar di Malaysia. Bermula pada jam 9.00 pagi dan bersurai pada jam 6.00 petang, peserta yang hadir dapat mendengar perkongsian ilmu perniagaan yang dibincangkan oleh usahawan – usahawan terkemuka bumiputera, selain dapat mengembangkan lagi rangkaian kenalan sesama usahawan.

KUB 2017 memaparkan usahawan – usahawan ternama tanah air seperti Dato’ Aliff Syukri (D’Herbs), Datuk Wira (Dr.) Hj Ameer Ali Mydin (Mydin), Tuan Hj Fadzli Yusof (NLPM Center), Belle Alyahya (Bella Ammara) dan ramai lagi yang sudi berkongsi ilmu bisnes, cabaran yang mereka hadapi, dan perkongsian pengalaman sepanjang membina empayar perniagaan masing masing. Tambahan lagi, konvensyen tersebut menyediakan platform suai kenal bersama ahli panel speaker dalam slot masa yang telah ditetapkan.

Perbincangan berformat forum di konvensyen ini berjaya mengupas isu – isu penting dalam perniagaan, contohnya cara – cara untuk merekrut dan mengekalkan bakat terbaik dalam syarikat, teknik pemasaran yang efektif dengan bajet terhad, kriteria dalam menjadi pemimpin syarikat yang berkaliber, strategi penutupan jualan terbaik dan banyak lagi topik menarik

yang dibincangkan. Pengunjung boleh melayari www.kub.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program yang julung kali diadakan ini.