Koop Sahabat raih untung bersih lebih RM30 juta, kekalkan dividen 10 peratus

Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM32.10 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus membolehkannya mengekalkan agihan dividen pada kadar 10 peratus kepada anggota.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata keputusan mengekalkan dividen tersebut menandakan tahun kelima berturut-turut koperasi itu berjaya memberikan pulangan dua angka yang konsisten kepada anggotanya.

Menurut beliau, jumlah agihan dividen yang akan disalurkan adalah sebanyak RM12.7 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 466,725 anggota di seluruh negara.

“Pencapaian ini mencerminkan kedudukan kewangan koperasi yang kukuh serta komitmen berterusan dalam memastikan anggota menerima pulangan yang mampan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) ke-13 baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Mohd Najib berkata prestasi kewangan yang dicatatkan itu turut disokong oleh peningkatan perolehan kumpulan sebanyak 46 peratus kepada RM153.59 juta berbanding RM104.84 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh prestasi perniagaan Sahabat Ar Rahnu yang mencatat peningkatan ketara sebanyak 85 peratus, dengan perolehan melonjak kepada RM68.49 juta daripada RM37.05 juta sebelum ini.

Seiring dengan perkembangan positif itu, Koop Sahabat turut melancarkan Kempen Kembara Emas Sahabat Ar Rahnu 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM60,000 sebagai penghargaan kepada pelanggan setianya.

Kempen berkenaan akan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Disember 2026.

Dalam pada itu, Koop Sahabat terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor koperasi negara apabila diiktiraf sebagai Koperasi Kelima Terbaik Malaysia bagi tahun 2025 oleh SKM, selain menerima beberapa pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Mohd Najib berkata koperasi itu akan terus memperluas aktiviti perniagaan sedia ada dan menilai peluang pelaburan baharu yang berpotensi tinggi bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi anggota.

Beliau berkata langkah tersebut penting bagi memastikan prestasi kewangan koperasi kekal mampan dan berdaya saing dalam jangka panjang.

-NIAGATIMES

Koop-Sahabat-mengumumkan-agihan-dividen-10-peratus-selepas-mencatatkan-keuntungan-bersih-sebanyak-RM32.10-juta-bagi-tahun-kewangan-berakhir-31-Disember-2025-1.png