Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad mensasarkan berada di kedudukan Koperasi Premier menjelang tahun 2026 dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik tiga tahun 2025 hingga 2027 yang berfokus kepada pertumbuhan inovasi, pemantapan anggota dan menembusi pasaran global bagi meningkatkan manfaat kepada anggotanya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Koop Sahabat ditemui ketika Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Terbaik Malaysia 2024 serta penyampaian Anugerah Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2024 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pada Majlis itu Koop Sahabat telah diiktiraf sebagai Koperasi Ke-2 Terbaik Malaysia 2024. Anugerah telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib bin Hj Mohd Noor menzahirkan ucapan syukur dan berterima kasih kepada pihak SKM kerana telah memberi kepercayaan kepada Koop Sahabat. Anugerah ini merupakan pencapaian terbaik bagi Koop Sahabat yang telah berada dalam kelompok lima koperasi terbaik bagi dua tahun berturut-turut sejak tahun 2023.
Koop Sahabat kini berkembang pesat melalui pertambahan cawangan Sahabat Ar Rahnu yang mempunyai sebanyak 34 buah cawangan di seluruh Malaysia yang turut menjadi pusat sehenti (one Stop Centre) bagi kemudahan keanggotan.
Melalui Ar Rahnu, Koop Sahabat mensasarkan pembukaan 50 buah cawangan menjelang tahun 2027 di seluruh Malaysia bagi memudahkan capaian anggota kepada akses manfaat keanggotaan yang menjadi tunjang kepada koperasi.
-NIAGATIMES