Usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digalakkan menubuhkan badan koperasi secara berkumpulan bagi mengembangkan perniagaan mereka agar kekal relevan dan berdaya saing di pasaran tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, langkah menubuhkan koperasi dapat membantu usahawan untuk menghimpun dana bagi menyediakan sejumlah modal sebelum memulakan perniagaan yang lebih bermodal besar.
“Sektor koperasi memainkan peranan penting kerana ia adalah ejen atau pemangkin kepada pembangunan usahawan terutama bagi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang membolehkan mereka boleh mengumpul dana secara berkumpulan membabitkan ahli,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival Koperasi dan Usahawan Digital 2018 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, semalam.
Pada masa yang sama, Redzuan berharap sumbangan perolehan sektor koperasi di seluruh negara mampu mencapai RM48 bilion menjelang akhir tahun ini ekoran daripada perkembangan positif sektor tersebut mencatatkan perolehan sebanyak RM24 bilion pada Januari hingga Jun lepas.