Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berada pada tahap mencukupi dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian secara panik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemantauan berterusan sedang dijalankan oleh kementeriannya bagi memastikan bekalan dan harga barangan di pasaran kekal terkawal sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta semua kementerian berkaitan meneliti keadaan semasa, selain menyediakan unjuran serta pelan kontingensi mengikut bidang kuasa masing-masing.
Menurut Armizan, kerajaan telah membuat persiapan awal bersama Kementerian Pertanian serta pihak industri termasuk pemborong, pengeluar dan peruncit bagi memastikan rantaian bekalan berjalan lancar.
“Jadi saya ingin memberi jaminan bahawa bekalan untuk sambutan Aidilfitri adalah mencukupi. Orang ramai tidak perlu bimbang atau membuat pembelian panik kerana bekalan bukan sahaja tersedia hingga 1 Syawal malah sehingga 30 hari Syawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri serta Program Jualan Rahmah MADANI di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang hari ini.
Dalam pada itu, Armizan berkata kementerian turut memberi perhatian terhadap isu berkaitan bekalan bahan api, khususnya kemungkinan berlakunya penyeludupan.
Menurut beliau, meskipun kerajaan telah melaksanakan penyasaran subsidi diesel dan RON95, risiko penyeludupan masih boleh berlaku terutama apabila harga minyak dunia meningkat dan wujud perbezaan harga ketara dengan negara jiran.
Keadaan itu, katanya, boleh mendorong pihak tidak bertanggungjawab menyeludup bahan api ke luar negara atau menyalahgunakan bekalan bersubsidi bagi kegunaan industri.
Sehubungan itu, KPDN akan mempergiat operasi penguatkuasaan termasuk menerusi Ops Tiris bagi memastikan kegiatan penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi dapat dibendung.
“Kita akan terus memberi tumpuan kepada pemantauan bekalan dan tindakan penguatkuasaan supaya bekalan kekal mencukupi serta tidak berlaku penyelewengan,” katanya.
-NIAGATIMES






















































