KPDN rangka undang-undang baharu perkukuh tadbir urus syarikat amanah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mempergiat usaha memperbaharui landskap kawal selia syarikat amanah swasta menerusi penggubalan Rang Undang-Undang Syarikat Amanah (RUUSA) yang baharu, bagi menggantikan Akta Syarikat Amanah 1949 [Akta 100] secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, reformasi itu bertujuan memastikan struktur pentadbiran dan tadbir urus sektor berkenaan lebih telus, berintegriti serta sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Petaling Jaya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, semakan terhadap Akta 100 telah dimulakan sejak 2018 dan kini memasuki fasa penggubalan rang undang-undang baharu yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2026 selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

“RUUSA akan memberi tumpuan kepada empat kluster utama, meliputi penetapan parameter aktiviti serta rejim pendaftaran mandatori, pelaporan pemunyaan benefisial, aspek pentadbiran dan tadbir urus, serta mekanisme pemotongan nama, penyelamatan korporat, penggulungan dan pembubaran syarikat amanah,” katanya.

Beliau berkata proses konsultasi awam telah dilaksanakan sejak 2 April 2024 melalui pengedaran dokumen konsultasi, diikuti sesi libat urus bersama pemain industri, kementerian dan agensi berkaitan pada Disember tahun sama.

Antara agensi yang terlibat termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Mengulas isu pelesenan pengurus dana, Fuziah berkata Akta 100 ketika ini hanya merangkumi pendaftaran serta aspek pentadbiran entiti syarikat amanah dan tidak meliputi pengawalseliaan transaksi pelaburan.

“Cadangan mewajibkan pelesenan pengurus dana tertakluk kepada bidang kuasa agensi yang menyelia aktiviti pengurusan dana dan pelaburan, bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan bahawa urusan amanah tunai atau cash trust merupakan perjanjian persendirian antara pemberi amanah dan pemegang amanah, yang tertakluk kepada peruntukan di bawah Trustees Act 1949 [Akta 208].

Katanya, di bawah kerangka sedia ada, pemegang amanah tidak diwajibkan berdaftar sebagai entiti berlesen dan dibenarkan mengurus serta menjana hasil daripada harta amanah, termasuk amanah tunai, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 4 akta berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penyampaian maklumat kepada orang awam perlu dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan kekeliruan berhubung had perlindungan undang-undang dalam urusan amanah persendirian.

“KPDN komited memastikan sistem kawal selia yang lebih kukuh, responsif dan bersepadu demi melindungi kepentingan rakyat serta mengekalkan keyakinan terhadap sektor amanah swasta negara,” katanya.

-NIAGATIMES

kredit-foto-DR-FUZIAH-SALLEH.jpg