KPIM, PLS Plantations meterai MoU perkukuh sekuriti makanan negara

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (KPIM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat agromakanan, PLS Plantations Berhad (PLS Plantations), iaitu untuk menjalankan kajian ekstensif serta membentuk usul bagi program sekuriti makanan negara, semalam.

MoU tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang dilangsungkan secara dwitahunan. Turut hadir ialah Menteri KPIM, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Pengerusi Kumpulan PLS Plantations, Tan Sri Mohammed Nazir Abdul Razak.

Ronald Kiandee berkata, adalah mustahak bagi industri ini iaitu sektor awam dan swasta untuk bekerja secara rapat agar kita dapat memperkukuhkan lagi sekuriti makanan negara menerusi seluruh rantaian bekalan.

“Pada masa yang sama, kita perlu menyusun atur peranan masing-masing untuk merebut peluang menjana pendapatan yang lebih tinggi dalam kalangan penggiat agrikultur, selain merapatkan jurang pendapatan dan memperbaiki kehidupan.

“Untuk menjamin masa depan industri ini, kita juga perlu menarik penglibatan golongan belia dan kami melihat usaha sama sektor awam dan swasta sebagai strategi utama untuk melahirkan program-program baharu, termasuk teknologi dan platform yang dapat menarik petani dan peserta baharu ke industri agrikultur,” jelasnya.

Ronald turut optimis kementeriannya dapat memperbaiki kebingkasan sekuriti makanan negara, termasuk aksesibiliti dan kemampuan untuk memiliki makanan yang berkualiti, sejajar dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 menerusi usaha-usaha tersebut.

-NIAGATIMES

MoU.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.