Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menggalakkan pemilik kebun untuk mula membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi sebagai salah satu langkah mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan khususnya sawit.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penggunaan teknologi automasi juga diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.
“Menerusi kajian dan penyelidikan teknologi dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pemilik-pemilik ladang disaran meningkatkan penggunaan automasi seperti menggunakan dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak.
“KPPK yakin, penggunaan automasi di peringkat ladang akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah Zuraida, kementeriannya ketika ini komited untuk terus berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera.
“Kerajaan Persekutuan menerusi keputusan pada September 2021 bersetuju untuk meluluskan rancangan membawa masuk sejumlah 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara.
“KPPK yakin bahawa sasaran ini akan dicapai dan isu berkaitan permit telah dibawa ke perhatian kementerian.
“Di masa hadapan, pemilik-pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara perlu melihat prospek pekerja dengan lebih meluas seperti di India dan Pakistan, serta tidak hanya tertumpu kepada pekerja-pekerja dari negara Indonesia dan Bangladesh,” ujarnya.
-NIAGATIMES