KPPK: Tiada kompromi salah laku urus niaga kelapa sawit

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memandang serius kegiatan penipuan timbang buah kelapa sawit melibatkan pemborong tamak yang menyebabkan kerugian pendapatan kepada pekebun kecil.

Menteri KPPK, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kementeriannya melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengambil tindakan yang lebih tegas dan serta merta terhadap pihak yang menindas pekebun kecil.

“Kebiasaanya tindakan penguatkuasaan MPOB terhadap pemegang lesen yang melakukan kesalahan termasuk pengeluaran surat amaran, kompaun dan pendakwaan di mahkamah yang melibatkan denda sehingga RM200,000.

“Bagi pemegang lesen yang mengulangi kesalahan atau tegar, tindakan penggantungan, pembatalan atau lesen MPOB tidak diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah Khairuddin, MPOB bersedia dengan tindakan yang lebih tegas memandangkan kesalahan menipu timbangan buah kelapa sawit amat serius dan memberikan kesan yang amat negatif kepada pekebun kecil.

“MPOB bersedia dengan tindakan yang lebih tegas di mana pemborong yang dibuktikan melakukan penipuan atau manipulasi timbangan buah kelapa sawit akan digantung lesen mereka serta-merta.

“Untuk kesalahan yang sama, seterusnya tindakan lebih tegas akan diambil termasuk pembatalan lesen secara serta-merta,” jelasnya.

Bagi membendung aktiviti salah laku yang melibatkan penipuan timbang buah kelapa sawit, MPOB bersama pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan operasi bersepadu manipulasi timbangan sawit melibatkan pemeriksaan alat timbang pusat pengumpulan buah kelapa sawit.

Sehingga 27 April 2021, sebanyak lima siri operasi bersepadu telah dijalankan melibatkan pemeriksaan 63 premis berlesen. Hasil operasi ini, sebanyak 56 tindakan penguatkuasaan telah dikenakan ke atas pemegang lesen MPOB bagi kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan Pelesenan.

-NIAGATIMES

KPKK-MPOB.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.