KPPK lancar kempen hargai sumbangan industri sawit negara

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen ini dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi.

“Selain itu, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Khairuddin, pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform.

“Pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan. Penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat,” ujarnya.

Sempena pra pelancaran kempen baru-baru ini, KPPK mengedarkan sebanyak 550 pelitup muka dengan logo rasmi kempen kepada semua Ahli Parlimen, kenamaan dan media sebagai simbolik kesepaduan kempen ini dengan usaha memerangi pandemik wabak Covid-19 selain menzahirkan pelaksanaan kempen dengan norma baharu.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.