Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye baru-baru ini bakal perkukuh hubungan dua hala dengan negara republik itu.
Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya optimistik hubungan dua hala Malaysia-Turkiye akan terus berkembang terutamanya dalam sektor perdagangan dan eksport komoditi negara seperti minyak sawit.
โSelain meningkatkan hubungan diplomatik, lawatan terbaru Perdana Menteri juga telah membina jaringan hubungan yang lebih erat antara komuniti perniagaan kedua-dua negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan Turkiye terhadap kualiti minyak sawit negara.
โDatuk Seri Ismail Sabri dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan juga menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara kedua-dua negara yang secara langsung menyokong usaha KPPK untuk meningkatkan eksport komoditi negara,โ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Zuraida, pertemuannya dengan Menteri Perdagangan Turkiye, Dr. Mehmet Mus ketika lawatan itu juga menyentuh perbincangan mengenai hasrat Malaysia untuk mempergiatkan aktiviti hiliran industri minyak sawit.
โMalaysia juga telah menawarkan kepakaran dalam teknologi getah asli, terutamanya dalam galas getah seismik yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk industri pembinaan, termasuk jambatan dan landasan kereta api yang kini sedang berkembang pesat di Turkiye.
โBagi tujuan ini, Kementerian menghargai usaha Turkiye dalam memberi pengecualian cukai hasil melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang ditandatangani pada 2019.
โIni juga memudahkan perbincangan untuk menjadikan Turkiye sebagai hab produk komoditi Agri Malaysia ke Eropah dan Asia Tengah,โ ujarnya.
Sehingga ke hari ini, Turkiye kekal sebagai pasaran penting bagi komoditi keluaran negara. Pada 2021, nilai perdagangan produk komoditi pertanian Malaysia dengan Turkiye bernilai RM6.02 bilion dengan nilai eksport RM5.99 bilion.
Eksport produk pertanian komoditi Malaysia ke Turkiye meningkat 49.5% daripada RM4.01 bilion pada 2020.
Empat produk komoditi utama yang dieksport ke Turkiye adalah produk berasaskan minyak sawit (RM4.38 bilion), diikuti getah (RM1.29 bilion), koko (RM304.5 juta), dan kayu balak (RM8.43 juta).
-NIAGATIMES