Kredibiliti PKS sebagai teraju ekonomi negara

Jumlah penglibatan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang semakin meningkat ketika Malaysia berdepan situasi kestabilan ekonomi yang tidak menentu jelas menunjukkan industri tersebut masih lagi mampu merangsang pendapatan negara secara holistik.

Perasaan bimbang terhadap momokan kemerosotan ekonomi sewaktu peralihan Revolusi Industri 4.0 seolah-olah tidak memberikan impak negatif apabila pertumbuhan PKS dilihat semakin ligat dan masih berada pada tahap perkembangan positif.

Keadaan ini terbukti berdasarkan statistik Banci Ekonomi 2016 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia melalui SME Corp menunjukkan sebanyak 907,065 pertubuhan PKS telah beroperasi dan berdaftar di seluruh negara dengan melibatkan pelbagai sektor seperti perkhidmatan (809,126 PKS), pembuatan (47,698 PKS), pembinaan (39,158 PKS), pertanian (10,218 PKS) serta perlombongan dan pengkuarian (865 PKS).

Daripada jumlah tersebut, perusahaan bersaiz mikro mendominasi sebanyak 76.5 peratus daripada keseluruhan pertubuhan manakala 21.2 peratus dan 2.3 peratus pula adalah pertubuhan PKS daripada perusahaan bersaiz kecil dan sederhana. Statistik yang sama juga menjelaskan bahawa Selangor mempunyai pertubuhan PKS paling aktif dengan kadar 19.8 peratus berbanding negeri-negeri lain.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.