Malaysia dijangka berdepan tekanan kenaikan kos import sekiranya konflik di Timur Tengah berlarutan, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia banyak menggunakan laluan udara merentasi Timur Tengah bagi penghantaran barangan bernilai tinggi, terutama ke destinasi Eropah.
Menurutnya, perkembangan terkini di rantau itu telah menyebabkan beberapa ruang udara ditutup atau dikawal ketat atas faktor keselamatan, sekali gus menjejaskan operasi penerbangan termasuk oleh Malaysia Airlines.
“Apabila berlaku sekatan ruang udara, pesawat terpaksa mengubah laluan ke jarak yang lebih jauh. Ini meningkatkan penggunaan bahan api serta menambah kos operasi. Dalam sesetengah kes, penerbangan juga mungkin dibatalkan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Beliau menjelaskan bahawa perubahan laluan dan kelewatan penghantaran kargo boleh mencetuskan peningkatan kos logistik. Situasi itu akhirnya memberi kesan kepada harga barangan import yang perlu ditanggung pengguna dan perniagaan tempatan.
Ketegangan di Timur Tengah memuncak selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sebelum Iran bertindak balas dengan serangan misil ke atas Israel serta kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat di rantau berkenaan.
Tengku Zafrul berkata pasaran komoditi, khususnya minyak mentah, turut terkesan memandangkan Iran terletak berhampiran laluan strategik perdagangan minyak global. Kebimbangan terhadap gangguan bekalan telah menyebabkan harga minyak meningkat.
“Apabila harga minyak naik, kos pengangkutan dan pengeluaran turut meningkat. Kesan rantaian ini akhirnya boleh mendorong kenaikan harga barangan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata ketidaktentuan geopolitik biasanya mendorong pelabur global memindahkan dana ke aset yang dianggap lebih selamat seperti dolar Amerika Syarikat dan emas. Perkembangan itu boleh memberi tekanan kepada nilai ringgit.
“Penyusutan ringgit bermakna kos import menjadi lebih tinggi kerana pembayaran dibuat dalam mata wang asing,” katanya.
Beliau menambah bahawa tahap kesan kepada rakyat bergantung kepada tempoh dan intensiti konflik. Jika situasi dapat dikawal dalam masa singkat, impaknya mungkin sederhana. Namun, sekiranya berpanjangan, tekanan terhadap kos sara hidup dan perniagaan dijangka lebih ketara.
-NIAGATIMES






















































