KUALITI RAWATAN, SUASANA MEWAH DI SALON MUSLIMAH FARAH JADI TARIKAN

Salon Muslimah Farah merupakan salon rambut dan spa kecantikan yang ditubuhkan dengan fokus jelas untuk membantu wanita Muslimah mendapatkan fesyen rambut yang moden mengikut trend terkini di bawah pendandan rambut professional yang diiktiraf.

Ditubuhkan pada tahun 2016 dan terletak di Telok Panglima Garang, Selangor, Pengasas dan CEO, Nurfaradiba Zakirah binti Adib terpanggil untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah demi membantu wanita Muslimah di Malaysia mendapatkan khidmat dandanan rambut yang berkualiti tinggi di tempat yang selesa.

Bermula dengan kesedaran itu, dia yang lebih mesra dikenali sebagai Farah Adib telah menuntut ilmu dandanan rambut dari ramai pakar pendandan rambut professional kebangsaan dan antarabangsa antaranya Bambang Soteto, Ridz Okumura dan Cik Chinta.

“Selepas menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Perak dalam bidang sains tulen, saya menerima tawaran untuk menyambung Ijazah Sains di Universiti Utara Malaysia. Tetapi saya tekad untuk tidak menyambung pengajian dalam bidang sains kerana naluri sangat kuat untuk menceburi bidang perniagaan.

“Pada mulanya saya enggan memberitahu ibu dan ayah hasrat untuk menjadi seorang pendandan rambut dan bukan graduan sains. Namun akhirnya ahli keluarga kini menyokong dan menjadi tulang belakang setelah saya membuktikan saya tidak bercakap kosong,” ujarnya.

Farah Adib terus mengorak langkah dengan menamatkan pengajiannya di Faculty of Hairtistry oleh Bambang Soteto yang diiktiraf oleh Loreal International Paris dan mendapat Anugerah Pelajar Terbaik. Dia kini melanjutkan pelajaran lagi di bawah akademi Schwarzkopf.

“Bermula secara solo dan hanya sebuah kerusi gunting rambut sahaja, kini saya telah memiliki dua buah kedai, 12 kerusi dan 9 orang pasukan profesional. Pada tahun 2020 saya telah membuka Faliq Barbershop & Men Salon.

“Insya-Allah pada tahun hadapan, kami bakal membuka kedai ketiga berkonsepkan Premium A-rated Salon dengan kerjasama MARA dan Scwarzkopf yang dinamakan HitStylista,” katanya.

Salon Muslimah Farah dan Faliq Barbershop menawarkan servis ‘rebonding’, ‘relaxing’, ‘balayage’, ‘platinum’, ‘babylight highlights’, ‘ombre’, ‘digital perm’, rawatan keratin dan bermacam-macam lagi.

“Alhamdulillah kami memiliki ratings 4.8 di Google dan pelanggan kami bukan sahaja berasal dari Telok Panglima Garang, malah ada yang sanggup turun dari negeri lain seperti Perak dan Kedah semata-mata ingin mendapatkan khidmat kami,” jelasnya tersenyum.

Farah Adib sempat berkongsi jerih payah yang dilaluinya semasa dalam proses membangunkan perniagaannya.

“Tahun 2016 semasa dalam perjalanan ke tempat kursus, saya terjatuh motor. Tapi saya bangkit kembali dan teruskan perjalanan dan hadiri kursus seperti tiada apa yang berlaku.

“Jadi setiap kali saya rasa kurang bersemangat, saya akan teringat kembali cabaran semasa menuntut ilmu dan membina perniagaan,” ceritanya.

“Motivasi terbesar saya untuk terus berusaha keras memajukan Salon Muslimah Farah ialah kerana saya ingin melihat pekerja-pekerja saya yang berasal dari luar bandar berjaya dalam kareer profesional. Merekalah penguat semangat saya untuk terus berusaha keras. Satu kepuasan apabila saya dapat membantu menaikkan taraf hidup dan pendapatan mereka menjadi lebih baik,” tambahnya lagi.

Pasukan Salon Muslimah Farah terdiri dari 9 orang anak-anak muda Bumiputera yang berasal dari pelbagai latar belakang. Mereka telah dilatih dari ‘zero’ hingga kini berjaya menjadi pendandan rambut profesional.

Menutup temu bualnya, Farah Adib berkongsi visi dan misi syarikatnya untuk memiliki lebih banyak cawangan di masa akan datang.

“Saya ingin membantu para Muslimah di Malaysia mendapat servis dandanan rambut yang profesional dengan kualiti terbaik di tempat yang selesa tanpa risau lagi akan penjagaan aurat.

“Saya juga mahu membimbing lebih ramai anak-anak muda Bumiputera berasal dari luar bandar memiliki kerjaya yang sukses dalam bidang dandanan rambut profesional serta membina jati diri yang hebat,” ujarnya.

-NIAGATIMES

Close up Ceo & Anugerah Salon 1 Ceo & Staff SALON MUSLIMAH FARAH1

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.