Kuasai Ilmu Bisnes Internet

0
0

Khamis, 16 November 2017 – Usahawan e-dagang di kawasan pedalaman dan luar bandar perlu melengkapkan kemahiran perniagaan mereka secara lebih profesional sebagai persediaan awal sebelum keupayaan telekomunikasi dipertingkatkan melalui peruntukan RM1 bilion.

Jumlah peruntukan membangunkan prasarana telekomunikasi berkenaan adalah tunjang utama migrasi ekonomi Sarawak kepada sektor perniagaan berasaskan internet, berbanding perniagaan konvensional yang terbatas dari segi pasaran.

Menteri Muda e-Dagang Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais, berkata Kementerian Perdagangan dan e-Dagang (MITeC) sudah mengambil langkah permulaan memberi pendedahan kepada usahawan luar bandar terutama daripada kalangan belia agar lebih menekankan kepada penggunaan internet.

“MITeC setakat ini sudah melaksanakan lima Bengkel Perniagaan Online sehingga Oktober lalu di seluruh Sarawak dan pihak kementerian akan mempergiatkan bengkel seumpama itu pada tahun depan. Kerjasama strategik antara agensi lain akan mempermudahkan perluasan program sama di kawasan bandar dan luar bandar.

“Beberapa insiatif seperti penubuhan Boneo 744, Pusat Inovasi Sarikei (SIC) dan Anjung Usahawan adalah pelan jangka panjang menyokong kemampanan usahawan e-dagang,” katanya ketika menjawab soalan Razaili Gapor (BN- Beting Maro) pada Sidang Dewa Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mohd Naroden ketika mengulas lanjut, berkata kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan secara serius penubuhan ‘kampung digital’ di kawasan berpotensi di kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, pelaburan besar membangunkan prasarana telekomunikasi tidak akan mencapai objektif sekiranya masyarakat enggan membuka minda dan menerima perubahan yang memberi kebaikan kepada diri mereka,” katanya yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan Kecil dan Sederhana Sarawak.

Justeru, katanya, MITeC dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) akan memastikan setiap sen diperuntukkan kerajaan negeri bagi membangunkan prasarana telekomunikasi memberi manfaat kepada golongan sasar.

“Selain Bengkel Perniagaan Online, Program e-Usahawan juga diberi penekanan sebagai pelengkap kepada usaha merakyatkan ekonomi digital dengan sasaran penyertaan membabitkan 3,000 usahawan tahun ini,” katanya.

 

Nama Pengarang: Muhd Amirul Faiz Ahmad

 

Sumber: www.bharian.com.my

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.