Kumpulan dUCk (dUCk) dengan rasminya melancarkan butik yang terbesar. Butik ini yang terletak di Bangsar Village 1 amat istimewa kerana ia secara khusus menawarkan pengalaman yang berlainan, diilhamkan untuk para pengikut setia yang digelar dUCkies.
Buat pertama kalinya, butik dUCk menyediakan kafenya sendiri, salun khusus untuk wanita sahaja, sebuah perpustakaan kecil, dinding ikon dUCk, galeri skarf, stesen untuk memperibadikan hadiah dan item dUCk eksklusif untuk dijual.
Butik dua tingkat ini adalah juga butik ketujuh dUCk di Malaysia, yang dibuka tepat pada masa dUCk menyambut ulang tahunnya yang ketujuh. Majlis pelancaran yang bersejarah itu telah disempurnakan oleh Pengasas Bersama Kumpulan dUCk, Vivy Yusof.
Menurut Vivy, dirinya berbesar hati mengalu-alukan orang ramai untuk menikmati pengalaman lengkap di butik terbaharu dUCk yang akhirnya dibuka setelah mereka berdepan cabaran kerja-kerja pembinaan yang tertangguh akibat situasi semasa pandemik di Malaysia sebelum ini.
โdUCk bukan sekadar jenama skarf dan tidak pernah dibina hanya untuk menjual tudung. dUCk dibina untuk meraikan gaya hidup seorang wanita moden yang sederhana, dengan membawa segala kelengkapan dari fesyen ke kecantikan dan juga kelengkapan hidup. Visi saya adalah untuk dUCk menjadi jenama fesyen dan gaya hidup sederhana premium terkemuka dan dengan kedai ini, saya rasa kami semakin hampir dengan visi itu,โ katanya dalam satu kenyataan.
Diceriakan dengan warna ungu ikonik, butik baharu ini pasti menguja penggemar fesyen, peminat kecantikan dan sudah tentulah para dUCkies sendiri.
Dengan koleksi sedia untuk dipakai, kosmetik, beg, rumah dan kediaman, barang keperluan serta banyak lagi, butik ini bersedia untuk menawarkan segala pengalaman unik dUCk.
-NIAGATIMES