Kumpulan UOB ambil alih bisnes pengguna Citigroup di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam

Anak syarikat United Overseas Bank Limited (UOB) telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup yang terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit (Perniagaan Pengguna) di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam (Cadangan Pengambilalihan).

Sebagai sebahagian daripada Cadangan Pengambilalihan ini, kakitangan Perniagaan Pengguna akan diserap oleh UOB. Cadangan Pengambilalihan ini akan memperkukuh dan memperdalam lagi francais UOB di ASEAN.

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong berkata, pengambilalihan perniagaan runcit Citigroup dalam pasaran utama di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam merupakan peluang hebat yang tepat pada masanya.

“UOB percaya akan potensi jangka panjang Asia Tenggara dan kami telah mengambil langkah berdisiplin, selektif dan sabar dalam mencari peluang yang sesuai untuk berkembang.

“Tertakluk kepada kelulusan kawal selia, kami berharap untuk menyepadukan portfolio Citigroup yang berkualiti dan juga mengalu-alukan pasukannya, selain mewujudkan nilai untuk asas pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan lain kami yang semakin bertambah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pasifik Citi, Peter Babej berkata, pihaknya yakin bahawa
UOB, dengan budaya yang kukuh dan cita-cita serantau yang luas, akan menyediakan peluang yang amat baik dan tempat kerja jangka panjang bagi rakan sekerja perbankan pengguna di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

“Memberi tumpuan kepada perniagaan kami melalui langkah ini akan memudahkan pelaburan tambahan dalam bidang tumpuan strategik kami, termasuk rangkaian institusi kami di seluruh Asia Pasifik, justeru menghasilkan pulangan optimum untuk Citi,” ujarnya.

-NIAGATIMES

UOB-citi.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.