KUSKOP agih bantuan hampir RM40 juta kepada komuniti perniagaan Johor

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan hampir RM40 juta menerusi pelbagai kemudahan pembiayaan, geran dan bantuan kewangan kepada usahawan, syarikat serta koperasi di Johor bagi merangsang pertumbuhan sektor perusahaan tempatan.

Peruntukan itu disampaikan oleh Menterinya, Steven Sim Chee Keong sempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 dan Mini Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) peringkat Johor yang berlangsung baru-baru ini.

Program selama tiga hari bermula 5 Jun itu mencatat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 11,500 pengunjung serta merekodkan nilai jualan produk usahawan sebanyak RM240,000.

Selain itu, sebanyak 19 usahawan berjaya memperoleh peluang padanan perniagaan dengan nilai potensi transaksi mencecah RM6.394 juta hasil sesi yang diadakan sepanjang karnival tersebut.

KUSKOP dalam kenyataan memaklumkan Karnival HPM diwujudkan sebagai platform untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui penyediaan akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti, pemasaran dan jaringan perniagaan yang lebih luas.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia yang bertujuan meningkatkan daya tahan dan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Pengunjung dan peserta turut berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti termasuk pameran produk tempatan, sesi perkongsian ilmu, khidmat nasihat perniagaan serta program pembangunan usahawan.

Dalam usaha mempercepatkan transformasi digital PMKS, TikTok Shop yang bertindak sebagai rakan strategik program telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu usahawan meningkatkan jualan menerusi platform digital.

Karnival itu juga menyaksikan pengiktirafan diberikan kepada lima usahawan di bawah TEKUN Nasional yang berjaya mencapai jualan melebihi RM1 juta dalam tempoh setahun menerusi platform TikTok Shop.

Sementara itu, Program Halal Sukses KUSKOP Johor yang berlangsung serentak pada 6 dan 7 Jun memberi fokus kepada pembangunan industri halal menerusi kerjasama dengan Johor Halal Development Corporation dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Program berkenaan membincangkan pelbagai aspek termasuk Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030, pelaksanaan Halal Green Lane Johor, jaminan pembiayaan perniagaan, pemasaran digital dan strategi pengembangan pasaran melalui platform e-dagang.

Sebagai lokasi pertama penganjuran Karnival HPM tahun ini, Johor menjadi medan permulaan kepada siri jelajah program tersebut sebelum diteruskan di Morten Walk, Melaka menerusi Showcase SDSI Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Jun.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

-NIAGATIMES

kredit-foto-KUSKOP.jpg