KUSKOP ketuai delegasi PKS Malaysia luaskan pelaburan di Jepun

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengetuai misi perdagangan rasmi ke Jepun sempena Ekspo 2025 Osaka, Kansai.

Misi ini ialah sebahagian daripada usaha strategik KUSKOP untuk memperkukuh kehadiran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia di pasaran antarabangsa khususnya di Jepun.

Kemuncak misi ini adalah penganjuran Minggu KUSKOP di Pavilion Malaysia, Ekspo 2025 Osaka Kansai yang akan berlangsung dari 22 hingga 28 Jun 2025.

Minggu KUSKOP mengetengahkan tema ‘Health and Well-being’ sejajar dengan aspirasi memperkenalkan produk dan perkhidmatan tempatan dalam sektor kesihatan, gaya hidup sihat dan kesejahteraan.

Pelbagai program telah dirancang sepanjang Minggu KUSKOP berlangsung di Pavilion Malaysia bagi memperkenalkan keunikan produk-produk dan perkhidmatan PKS Malaysia. Di samping itu, terdapat tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh empat syarikat Malaysia dengan tujuh syarikat Jepun yang bernilai RM10.3 juta secara keseluruhan.

Dalam pada itu juga, 10 syarikat PKS Malaysia turut melancarkan produk mereka bersempena perasmian Minggu KUSKOP di Pavilion Malaysia.

Delegasi ini turut disertai oleh agensi-agensi KUSKOP iaitu SME Bank, SME Corp. Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan 39 syarikat PKS Malaysia serta 5 koperasi daripada pelbagai sektor iaitu makanan dan minuman, kesihatan, francais, pendidikan, halal dan vendor serta gaya hidup.

Penyertaan ini disokong dengan pelbagai sesi padanan perniagaan, mesyuarat perniagaan, seminar dan sesi jaringan industri bersama rakan niaga Jepun dengan kerjasama MITI dan MATRADE.

Misi ini dijangka menjana potensi pelaburan dan jualan bernilai RM51 juta melalui inisiatif perdagangan tersebut. KUSKOP sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengangkat syarikat-syarikat PKS Malaysia ke peringkat global dengan meneroka secara agresif serta merebut peluang perniagaan strategik di Jepun dan rantau Asia Timur.

Selain itu, perjumpaan bersama Osaka Chamber of Commerce and Industry (OCCI) dan pemain-pemain industri yang lain turut diadakan bagi memperluas peluang kolaborasi perniagaan.

-NIAGATIMES

KUSKOP-DI-EKSPO-2025-OSAKA.jpeg